KUALA LUMPUR, 17 April- Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan diumum 24 April ini.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), calon-calon boleh memperoleh keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh berkenaan.
"Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
"Selain itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian menerusi laman sesawang myresultspm.moe.gov.my mulai 10.00 pagi pada 24 April sehingga 6.00 petang pada 30 April 2025.
"Semakan juga boleh dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM, diikuti nombor kad pengenalan dan angka giliran, kemudian dihantar ke 15888 dalam tempoh yang sama," menurut kenyataan itu.
Seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara.