fb fb fb fb fb

PM tiba di Thailand, lawatan kerja dua hari

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra sempena lawatan kerja di Rumah Kerajaan Thailand, hari ini/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangkok untuk lawatan kerja dua hari ke Thailand.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Terminal 2 Tentera Udara Diraja Thailand dekat Don Mueang pada 1.20 tengah hari tadi waktu tempatan.

Ketibaan Perdana Menteri dan delegasi Malaysia disambut Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suriya Juangroongruangkit dan Kuasa Usaha ad interim Kedutaan Malaysia di Thailand, Bong Yik Jui.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan perwakilan khas ASEAN ke Myanmar, Tan Sri Othman Hashim.

Sebelum ini, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya, Paetongtarn Shinawatra di Government House.

Anwar dan Paetongtarn dijangka mengadakan perbincangan susulan kepada hasil Perundingan Tahunan (AC) ke-7 Malaysia-Thailand, yang diadakan pada 16 Disember lepas di Putrajaya.

"Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu hubungan dua hala dan meneroka lebih lanjut bidang kerjasama yang berpotensi antara kedua-dua negara jiran rapat, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama," menurut Wisma Putra.

Selepas Mesyuarat Dua Hala, Anwar dan Paetongtarn akan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Pembinaan (CA) bagi Projek Jambatan Rantau Panjang-Su-ngai Kolok yang akan ditandatangani oleh Nanta dan rakan sejawatannya, Suriya Juangroongruangkit.

Perdana Menteri juga dijadual bertemu dengan Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN dan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua industri di Thailand.

"Lawatan ini merupakan kesinambungan pertukaran lawatan di peringkat pemimpin tahun lepas, di samping perbualan telefon antara Perdana Menteri dan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra pada 6 Mac lepas," tambah kenyataan itu.

Penglibatan itu mencerminkan persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Thailand sebagai negara jiran dan anggota pengasas ASEAN.

Perdana Menteri dijadualkan pulang ke tanah air pada esok. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM