fb fb fb fb fb

Polis nafi kedai jual mercun meletup berlaku di Kedah

ALOR SETAR, 18 April- Polis Daerah Kota Setar menafikan dakwaan kejadian kedai menjual mercun meletup berhadapan sebuah kedai menjual telefon bimbit berlaku di sini.
 
Sebaliknya video kejadian letupan mercun yang disiarkan oleh sebuah portal dalam talian itu berlaku di Bahau, Negeri Sembilan.
 
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir dalam kenyataan awal pagi tadi memaklumkan, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung video tular dalam aplikasi Tiktok “Oh Bulan” yang mendakwa kejadian kedai jual mercun meletup berhadapan kedai menjual telefon pintar berlaku di sini.
 
Menurut beliau, laporan polis telah dibuat untuk menafikan kejadian tersebut berlaku di kawasan Alor Setar.

(Foto hiasan)

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan/233 Akta Komunikasi Multimedia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
 
Individu terbabit juga boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
 
Polis menasihati semua individu agar tidak sewenang-wenangnya menularkan berita palsu yang akan menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam.

Media Baharu