fb fb fb fb fb

33 ‘hotspot’ kemalangan dikesan di Terengganu sempena Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 18 April- Sebanyak 33 ‘hotspot’ atau lokasi panas kemalangan dikesan di Terengganu sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Justeru itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengaktifkan rondaan 24 jam di 33 kawasan terbabit.

Pengarahnya, Hassan As’ari Omar berkata, seramai 640 pegawai serta anggota daripada 17 balai akan menjalankan rondaan di lokasi terbabit sepanjang perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan yang cepat apabila berlaku kecemasan membabitkan kemalangan dan kebakaran.

Tambah beliau, bagi menampung keperluan tenaga kerja, hanya 20% dalam kalangan pegawai dan anggota operasi dibenarkan bercuti.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, 
Hassan As’ari Omar

Terdahulu beliau melancarkan Kempen Mencegah Kebakaran dan Op Raya di Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut, pihaknya menerima 97 panggilan kecemasan berhubung nahas jalan raya, tumpahan minyak serta kebocoran bahan mudah terbakar dan bencana alam sejak awal bulan ini.

Dalam kemalangan terbabit, empat pengguna jalan raya terbunuh dan 70 mengalami kecederaan manakala 55 selamat. 

Media Baharu