fb fb fb fb fb

Op Selamat: Polis Melaka tumpu 13 kawasan panas

(Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama
Pengamal Media di IPK Bukit Beruang, Melaka/ FB Polis Melaka)

MELAKA, 18 April- Polis Melaka akan memberi tumpuan kepada 13 kawasan panas kerap berlaku kemalangan di negeri itu bagi pelaksanaan Op Selamat 20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ia membabitkan lima kawasan di Melaka Tengah dan masing-masing empat kawasan di Jasin dan Alor Gajah.

Katanya, bagi daerah Melaka Tengah, kawasan 'hotspot' kemalangan adalah di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Jalan Umbai-Sungai Udang, Jalan Mufti Haji Khalil, Jalan Batang Tiga-Bukit Rambai-Tanjung Minyak dan Jalan Sungai Udang-Selandar.

"Di Alor Gajah pula membabitkan Jalan Rembia-Kendong, Jalan Alor Gajah-Tampin, Masjid Tanah-Bukit Sedanan dan Lubuk China-Hutan Percha.

"Manakala di daerah Jasin, tumpuan operasi adalah di Jalan Tehel-Bemban-Chabau, Jalan Merlimau-Jasin, Jalan Serkam-Kesang Tua dan Jalan Gapam-Bemban, katanya.

Beliau memaklumkan pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Dewan Parameswara, Mes Ibu Pejabat Polis (IPK) di Bukit Beruang, Melaka, malam tadi.


(Datuk Zainol turut menyampaikan cenderahati kepada semua pengamal media yang hadir/ FB Polis Melaka)

Zainol berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka akan meningkatkan rondaan, pemantauan, omnipresence dan penguatkuasaan di lokasi yang kerap berlaku kemalangan.

Penguatkuasaan Op Selamat yang bermula 20 hingga 27 April ini bagi membudayakan pematuhan undang-undang serta peraturan lalu lintas dalam kalangan pengguna jalan raya seterusnya mengelak kemalangan.

"Seramai 22 pegawai dan 177 anggota akan bertugas memastikan kelancaran trafik sepanjang Op Selamat di negeri ini yang mana kita menjangkakan 48,930 kenderaan akan memasuki Melaka dua hari sebelum Aidilfitri," katanya lagi.

Dijangkakan sebanyak 81,550 kenderaan akan berada di jalan negeri sepanjang dua hari pertama Hari Raya.

Media Baharu