BANGI, 3 Disember - Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) melalui Yayasan Canselor Universiti Tenaga Nasional (YCU) mencatat pencapaian cemerlang apabila kutipan dana mencecah RM360 juta sejak penubuhannya pada tahun 2009 sehingga November 2025.
Naib Canselor UNITEN, Prof. Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, kejayaan kutipan itu hasil sokongan konsisten syarikat korporat, rakan industri dan individu yang komited memperkasakan agenda pendidikan tinggi melalui sumbangan berterusan kepada YCU.
"Dana yang dikumpulkan disalurkan kepada pelbagai inisiatif universiti meliputi dermasiswa, penyelidikan, serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran, selaras dengan ketetapan dalam Surat Ikatan Amanah YCU.
"Penyaluran ini mencerminkan komitmen Yayasan Canselor UNITEN dalam menyokong golongan memerlukan dan memperkukuh pelaksanaan program berkaitan," katanya pada Majlis Makan Malam Amal dan Penghargaan Yayasan Canselor UNITEN (YCU) 2025 di Bangi.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Dana Warisan, inisiatif baharu bertujuan memelihara serta memartabatkan warisan budaya agar dapat diwarisi pelajar dan generasi depan, sekali gus memperkukuh nilai identiti dan kesinambungan tradisi bangsa.
"Dana Warisan yang dikumpul pada malam ini disifatkan sebagai sumbangan signifikan dalam memastikan kesinambungan tradisi serta warisan bangsa terus diperkasa dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
"Penganjur turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang merangkumi legasi diraja, pendukung tradisi, Sahabat Warisan dan Warga Budiman atas komitmen mereka memelihara budaya," jelasnya.
Sementara itu, sokongan warga kerja terus meningkat apabila seramai 692 kakitangan UNITEN dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyertai Skim Potongan Gaji Bulanan YCU, mencerminkan komitmen bersama memupuk budaya memberi dan menyokong kelestarian usaha pendidikan universiti.
Prof. Dr Khairul Salleh menyifatkan sokongan itu sebagai manifestasi budaya prihatin yang perlu diperluas, selain menjadi contoh amalan penyumbangan berterusan demi memperkukuh kedudukan YCU sebagai pemacu pembangunan modal insan negara.
Beliau turut menyatakan aspirasi YCU untuk mencontohi model dana (endowmen) institusi terkemuka dunia seperti Harvard, Yale, Oxford dan Al-Azhar yang berjaya membangun kekuatan kewangan mampan melalui pengurusan dana jangka panjang.
Majlis itu turut disempurnakan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang merangkap Canselor UNITEN, Tun Ramli Ngah Talib bersama Toh Puan Noora Ashikin Raja Abdullah yang hadir sebagai tetamu kehormat bagi meraikan para penyumbang.
Turut hadir Pengerusi TNB merangkap Pengerusi YCU, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan bersama ahli Lembaga Pemegang Amanah YCU, penyumbang korporat dan rakan strategik.