GEORGE TOWN, 3 Disember – Mengejar ilmu tidak pernah ada noktah, bahkan mampu membawa kebahagiaan yang luar biasa. Demikian luah dua pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang selama ini sibuk menggalas tugas menjaga keamanan negara, akhirnya berjaya meraih kejayaan sebagai graduan Sarjana Pentadbiran Awam pada Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM).
Dua anggota berkenaan ialah ACP Kamarul Rizal Jenal, Penolong Pengarah, Risikan Operasi, Bahagian (D9) Siasatan Khas/Jenayah Terancang, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dan ASP Mohd Rizal Abd Rashid, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Barat Daya, Pulau Pinang.
“Walau sering berulang-alik dari Bukit Aman ke USM untuk menghadiri kelas, saya tidak pernah rasa terbeban. Hari ini, semuanya terbalas,” kata ACP Kamarul Rizal sambil tersenyum, ditemani ahli keluarga yang turut hadir memberi sokongan.
Tambah ACP Kamarul Rizal yang berasal dari Sibu, Sarawak, tugas yang menuntut kesediaan fizikal dan mental setiap hari menjadikan kejayaan menggenggam ijazah, jauh lebih manis.
Bagi ASP Mohd Rizal Abd Rashid, bapa kepada empat cahaya mata, mengakui bahawa detik menerima skrol hari ini adalah antara memori paling berharga dalam hidupnya.
“Pernah saya hadir operasi sehingga awal pagi, tidur sekejap, kemudian sambung menyiapkan tugasan kuliah. Kadang-kadang kuliah malam, esok pagi operasi pula,” katanya sambil ketawa kecil.
“Tapi bila tengok keluarga tersenyum hari ini… memang berbaloi.”
Beliau turut mengorbankan masa cuti hujung minggu dan waktu santai bersama keluarga selama hampir dua tahun demi memastikan pengajiannya tidak tertangguh.
Sementara itu, meski pun sudah bergelar warga emas, tokoh guaman Datuk Dr G. Rethinasamy, turut melakar kejayaan tersendiri pada Upacara Konvokesyen ke-63 USM.
Peguam berusia 86 itu, membuktikan bahawa semangat menimba ilmu dan berkhidmat kepada masyarakat tidak pernah terhenti, apabila beliau melakar sejarah peribadi dengan menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD).
Datuk Dr G. Rethinasamy telah berkhidmat hampir lima dekad di Butterworth, masih aktif menerima pelanggan dan membantu golongan berpendapatan rendah yang memerlukan khidmat guaman asas. Keprihatinannya terhadap masyarakat menjadikan beliau antara figura dihormati dalam bidang guaman di Pulau Pinang.
Menurutnya, prinsip membantu tanpa mengira latar belakang menjadi pegangan utama sejak beliau memulakan kerjaya.
“Sesiapa sahaja yang datang, saya bantu. Jika saya yakin boleh selesaikan masalah mereka, barulah saya buka fail. Ramai datang dalam keadaan terdesak, jadi saya siapkan kerja dahulu sebelum meminta sedikit bayaran,” katanya ketika ditemui selepas menerima skrol PhD.
Perjalanan hidup beliau turut dipenuhi cabaran. Rethinasamy pernah terpaksa menamatkan pengajian tingkatan enam lebih awal selepas ayahnya kehilangan pekerjaan. Untuk menyara keluarga, beliau menceburi bidang kejururawatan pada tahun 1959 dan berkhidmat di beberapa hospital termasuk Hospital Butterworth.
Namun, minat mendalam terhadap undang-undang membawa beliau ke United Kingdom untuk mengikuti pengajian di Lincoln’s Inn sebelum menubuhkan firma guaman sendiri pada 1975.
Sejak itu, beliau aktif menawarkan khidmat guaman kepada masyarakat, termasuk menjalankan konsultasi awal secara percuma.
Selain terlibat dalam bidang perundangan, Rethinasamy turut memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti apabila menjadi antara pemaju terawal yang menyediakan perumahan kos rendah di Pulau Pinang.
Antara sumbangan besarnya ialah pembinaan 265 unit pangsapuri kos rendah di Tasek Gelugor sekitar 1989 hingga 1990, dijual pada harga di bawah RM50,000.
Bagi pengajian PhDnya, Rethinasamy menumpukan kajian terhadap hubungan antara pihak berkuasa perancangan dan pemaju perumahan serta impaknya terhadap pembinaan rumah mampu milik.
“Harga tanah dan kos bahan binaan semakin meningkat. Jika proses perancangan terlalu ketat, harga rumah akan terus meningkat. Diperlukan satu keseimbangan untuk memastikan rakyat mampu memiliki kediaman,” jelasnya.