KEPALA BATAS, 5 Oktober - Polis memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut melibatkan dua individu di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di sini untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Anuar Abdul Rahman berkata, dalam kejadian tersebut, kedua-dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang rentung selepas kereta dinaiki terbakar.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang identitinya belum dikenal pasti memandu kereta dari arah Permatang Tiga menuju ke Sungai Dua.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan disyaki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh timbunan tanah di kiri jalan lalu terbakar.
“Kemalangan itu mengakibatkan dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang rentung dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di talian 04-5757946 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.