fb fb fb fb fb

SUKA@PERLIS lahir mahasiswa holistik, berdaya saing & berjiwa sukarelawan

Program Semarak Siswa MADANI: Siswa Universiti Komuniti MADANI@Perlis (SUKA@PERLIS)

KANGAR, 5 Oktober - Program Semarak Siswa MADANI: Siswa Universiti Komuniti MADANI@Perlis (SUKA@PERLIS) bertujuan melahirkan mahasiswa yang holistik, berdaya saing dan berjiwa sukarelawan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Penaung Pertubuhan Kebajikan Anak Jati Perlis, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, program bersama komuniti itu seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi selain memperkukuh hasrat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk komuniti dalam mendukung gagasan Malaysia MADANI.

"Saya berharap melalui program seperti ini, kita dapat memperkukuh hubungan antara pelajar dan mahasiswa universiti dengan komuniti setempat. Selain itu, program ini turut berperanan mempromosikan UniMAP.

"Pada masa sama, sebagai orang Melayu, kita mempunyai adat dan budaya yang wajar dipelajari dan dipertahankan. Inisiatif ini juga dapat menjadi medium perkongsian ilmu kebudayaan daripada masyarakat setempat kepada para mahasiswa," katanya.

Beliau memaklumkan pada Perasmian Penutup Program Semarak Siwa MADANI: SUKA@PERLIS di Sekolah Kebangsaan Padang Kota, di sini.

Seramai 220 siswa UniMAP menyertai program itu akan bersama keluarga angkat selama tiga hari dua malam yang terdiri daripada mahasiswa pelbagai negeri.

Daripada jumlah itu 40 siswa ditempatkan di Kampung Ujong Bukit, salah satu lokasi agropelancongan di Perlis.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan bersama keluarga angkat dan komuniti, antaranya Sukan Bendang, Sukaneka Kanak-kanak, Program Khidmat Komuniti dan Persembahan Kebudayaan yang mampu mengeratkan hubungan serta sebagai satu promosi memperkenalkan bidang pengajian di UniMAP.

Program saban tahun itu turut mendapat kerjasama bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Ia juga merupakan kesinambungan tradisi khidmat masyarakat UniMAP sejak lebih dua dekad lalu sekali gus menjulang peranan mahasiswa di peringkat komuniti desa dan membina kesejahteraan masyarakat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI