fb fb fb fb fb

Polis Marin Johor rampas 3,000 liter diesel bersubsidi diseleweng

Komisioner Polis M.Kumar menunjukkan lori yang dengan tangki tambahan yang digunakan untuk tujuan penyelewengan diesel bersubsidi

JOHOR BAHRU, 7 Mei- Sejumlah 3,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM6,540.00 di sebuah stesen minyak di kawasan perusahaan Tampoi, Johor Bahru, dirampas Pasukan Polis Marin Johor semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M.Kumar berkata, hasil pemeriksaan didapati sebuah lori dipandu seorang lelaki mempunyai lima buah tangki berisi bahan bakar terbabit, disembunyikan di bahagian belakang kenderaan itu.

"Lori ini akan pergi ke stesen minyak dan mengisi seperti biasa melalui tangki yang biasa, tetapi ianya mempunyai ruangan, minyak terus masuk ke dalam tangki yang diubah suai, jadi daripada pandangan mata kasar kita nampak macam minyak itu diisi seperti biasa,"katanya.

Seorang suspek berusia 57 tahun turut ditahan dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana gagal mengemukakan dokumen sah.

Modus operandi sindiket dipercayai menyasarkan penjualan diesel bersubsidi itu kepada pemain-pemain industri kecil.

Turut dirampas, sebuah lori, lima buah tangki dan lain-lain, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM94,040.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 12 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE