KUALA LUMPUR, 2 Februari- Polis Kuala Lumpur merekodkan 444,120 laporan polis pada tahun lepas berbanding 374,588 laporan pada 2021.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, daripada jumlah tersebut, 60 peratus untuk tindakan agensi itu manakala 40 peratus lagi melibatkan siasatan agensi penguatkuasaan lain.
Dianggarkan purata 50 aduan atau laporan polis diterima di semua balai polis di Kuala Lumpur dan Putrajaya setiap hari.
Tambahnya, peningkatan jumlah laporan adalah sesuatu yang baik kerana memperlihatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan polis.
"86,409 kertas siasatan dibuka membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu.
"79,621 kes sudah dituduh di mahkamah pada tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini.
(Foto BERNAMA)