SERI ISKANDAR, 21 Mei- Polis sedang mengesan lapan individu termasuk sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki dalam tangki najis di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Ahad lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mereka dipercayai masih berada di dalam negara.
Pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kedutaan Indonesia untuk menjejaki kesemua suspek yang terlibat.
"Mereka merupakan pendatang dari Indonesia dan kita sedang menjejaki dan mengesan mereka untuk melengkapkan kertas siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di IPD Perak Tengah, di sini.
(Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Ketua Polis Perak)
Ahad lalu, mayat lelaki warga Indonesia berusia 40-an ditemui dengan keadaan masih berkain sarung dan seluar dalam tangki najis.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.