fb fb fb fb fb

Pasangan pengantin pelbagai kaum bersanding atas satu pelamin

JELEBU, 21 Mei- Lima pasangan pengantin daripada pelbagai kaum diraikan dalam Majlis Persandingan Madani 2023 sempena Majlis Sambutan Aidilfitri di sini.

Pada majlis itu, kesemua pengantin daripada kaum Melayu, Cina dan India bersanding di atas satu pelamin.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, program kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelebu dan Pentadbiran Kerajaan Daerah Jelebu itu dapat menterjemah dan menyemarakkan lagi perpaduan kaum di negeri itu.

"Ia memberi satu pengalaman baharu dalam hidup mereka kerana dapat bersanding beramai-ramai.

Ini mungkin suatu pengalaman yang tak pernah wujud sebelum ini dan mereka boleh mengenali budaya masing-masing dan kita berharap ia dapat diteruskan dan dapat disemarakkan khussunya oleh Jabatan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Daerah Jelebu dan Persandingan Madani 2023 di sini.

Dalam pada itu, ADUN Jelebu, Datuk Bakri Sawir memaklumkan, pihaknya bakal mempertimbangkan acara itu untuk dijadikan sebagai acara tahunan.

"Kita merancang program ini supaya dapat dilihat oleh masyarakat kota.

Walaupun berbilang kaum, berbilang agama tapi kita lihat kemuafakatan, kita nak menterjemahkannya antara kita," ujarnya.

(Lima pasangan pengantin pelbagai kaum bersanding di atas satu pelamin)

Sementara itu, pengantin yang ditemui turut berasa teruja kerana dipilih untuk menyertai Persandingan Madani 2023 yang dianjurkan buat julung kali itu.

"Bagi saya, bagus sebab ini pertama kali dapat berkumpul dengan pasangan Cina dan India.

Saya memang menyokong Malaysia Madani dan konsep perpaduan," kata Nor Izzati Munirah Rozaidi.

"Boleh tahu adat keturunan India macam mana Cina macam mana, Melayu macam mana.

Kita tak pernah bersanding macam orang Melayu macam ini, kita punya adat lain jadi kami nak tahu, ia pengalaman baharu," ujar Hervindraan M.Subramaniam.

Majlis turut dihadiri Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan isteri, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.


Media Baharu