fb fb fb fb fb

Polis Kelantan tambah MPV di kawasan sempadan

PASIR MAS, 15 Mei- Polis Kelantan dalam perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambah Unit Kereta Peronda (MPV) di kawasan sempadan negeri itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya sebelum ini membuat lawatan sempadan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Tumpat bagi melihat situasi semasa.

Katanya, inisiatif penambahan MPV boleh memperhebat kawalan sempadan Malaysia-Thailand selain menambah baik logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan.

Penambahan MPV akan dilaksanakan secepat mungkin sejajar dengan pelbagai strategi yang sudah dirangka dalam memastikan sempadan negara sentiasa dalam keadaan terkawal.

"Setakat ini kita masih menggunakan MPV yang sedia ada. Satu syif kita dapat mengadakan 100 lebih rondaan seluruh Kelantan. Begitu juga URV kita dapat 60 syif setiap masa tapi kalau ada kita dapat kawal khusus untuk rondaan 24 jam," kata Muhamad Zaki dalam sidang media di sini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Tandatangan Dokumen Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Dalam majlis itu Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah menyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Mas.

(Majlis penyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed sebagai Ketua
Polis Daerah Pasir Mas)

Media Baharu