fb fb fb fb fb

Penyelenggaraan rumah pangsa 'tua', akan diberi perhatian- Exco

KOTA TINGGI, 15 Mei- 10 perumahan pangsa awam di Johor yang berusia lebih 40 tahun perlu diselenggara dan dibaik pulih susulan keadaannya yang semakin uzur.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kira-kira 100 flat awam di bawah Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC), tiada peruntukan khas untuk penyelenggaraan. 

Penyelenggaraan dan baik pulih perlu dibuat selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam pertemuannya bersama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menitahkan perkara itu bagi membantu membela flat awam tersebut. 

"Selama ini flat awam, sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan tidak ada bidang kuasa membantu tetapi alhamdulillah dengan pertemuan antara Tuanku Sultan dengan menteri, Tuanku menitahkan kepada menteri untuk menyediakan peruntukan khas untuk flat-flat awam yang dalam keadaan uzur," kata Jafni kepada pemberita pada majlis penyerahan kunci di Residensi, Kota Tinggi, hari ini.


(Foto Hiasan)

Penyerahan tersebut disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diiringi Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kepada 20 pembeli rumah yang hadir sebagai simbolik penerimaan kunci di Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023.

Turut hadir bersama ke majlis, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Sementara itu, penduduk yang menerima kunci pada hari ini, Amreetha Omar dan Rozlina Basok meluahkan rasa syukur kerana dapat memiliki rumah tersebut setelah menunggu hampir tiga tahun. 

"Ya, tiga tahun menunggu dan akhirnya dapat juga. Saya sampai sudah putus asa sebenarnya, ingatkan tak dapat kunci sebabkan banyak projek-projek sakit yang kita dengar PR1MA kan. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga dapat kunci dan Insya-Allah bulan Julai ini, saya mula pindah lah," kata Amreetha kepada pemberita RTM.

"Saya mula buat permohonan pada dua tahun sebelum ini dan tahun ini, saya dapat kunci. Syukur sangatlah. Perjalanan itu sangat mudah daripada awal saya mohon sehinggalah saya dapat kunci. Memang sangat lancar," kata Rozlina kepada pemberita.

Media Baharu