KEPALA BATAS, 15 Mei- Kadar pemulihan bekalan air kepada penduduk di sekitar Pulau Pinang dianggarkan telah mencapai tahap 90%.
Baki 10 peratus lagi melibatkan 40,000 akaun pengguna di beberapa kawasan sekitar daerah Barat Daya, masih mengalami masalah sama dan dijangka menerima bekalan air secara berperingkat menjelang Rabu ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata paras air Sungai Muda juga telah meningkat ke tahap 1.66 meter.
Operasi mengekstrak sumber air mentah di Rumah Pam Lahar Tiang turut kembali pada keadaan asal dan telah mencapai kira-kira 83%.
"Walaupun esktrak di sini mencapai 83 peratus, ditambah air Empangan Mengkuang membolehkan loji Sungai Dua beroperasi 100%, kembali seperti asal tetapi untuk air sampai ke pengguna akan ambil sedikit masa dan perlu melalui proses normalisasi," kata Kon Yeow kepada pemberita selepas meninjau Loji Rawatan Air di Rumah Pam Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
(Foto Fail)
Antara kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air termasuk Jalan Teluk Kumbar, Jalan Sungai Tiram, Bukit Belah, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Gertak Sanggul.
Turut terkesan ialah Kampung Matahari Naik, Jalan Pondok Upeh, Batu Itam, Flat Lily, Pulau Betong, Bukit Penara dan Persiaran Mayang Pasir.
Jelasnya, pasukan bomba sukarela dan PBAPP akan terus menghantar bantuan bekalan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas bagi meringankan beban pengguna terlibat.
Semalam, paras air di Sungai Muda menunjukkan penurunan secara mendadak di bawah paras satu meter sekali gus menjejaskan pengeluaran di loji Rawatan Air Sungai Dua.
Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Pulau Pinang dan Kedah.