fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti 3W, seiring perubahan media semasa

(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berswafoto bersama warga pengamal media semasa Majlis
Pra Pelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Wisma Bernama hari ini/ Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 15 Mei - Kerajaan sedang meneliti situasi 3W atau 3 Win iaitu ‘menang-menang-menang' antara organisasi media, pengamal media dan pembaca, selari dengan perubahan dan perkembangan media hari ini. 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata situasi itu perlu diteliti berikutan perubahan pola pembacaan termasuk kandungan di media sosial yang merupakan cabaran hari ini. 

"Jadi kita sedar juga peralihan pembaca ini dari media tradisional kepada media sosial juga ia akan ada kesan dari segi ekonomi kepada organisasi media maka sebagai sebuah kerajaan kita prihatin tentang perkembangan ini dan sedia bekerjasama dengan industri media untuk kita mencari titik temu," kata beliau ketika berucap merasmikan prapelancaran sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Wisma Bernama di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.

Sementara itu Fahmi turut menegaskan bahawa hak kebebasan bersuara perlu disalurkan dalam saluran yang betul dan tidak bertujuan untuk mengeruhkan keadaan atau mengugat keharmonian dalam sesebuah negara.

"Etika kewartawanan sangat penting, kerajaan sangat teguh pendirian bahawa media bebas untuk beroperasi di negara kita tetapi undang-undang sedia terpakai, walaupun kita ada hak untuk bersuara tetapi kita tidak ada hak untuk menfitnah orang lain," jelas beliau.


(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Pra Pelancaran Hari Wartawan Nasional
(HAWANA) 2023 di Wisma Bernama hari ini/ Foto BERNAMA)

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 dlihat pemacu kepada sektor media negara.

Ia bakal diadakan pada 27 hingga 29 Mei ini , di Ipoh, Perak yang bertemakan ' Media Bebas Tunjang Demokrasi'.

Jelas beliau, kebebasan media akan terus dipertahankan di bawah Kerajaan Perpaduan.

Pihaknya juga akan meneliti beberapa perkara yang dibangkitkan terutama melibatkan isu kebajikan pengamal media .

"Kita jangkakan ramai yang akan hadir bukan hanya wartawan , jurufoto, dari kalangan rakyat Malaysia, pengamal media Malaysia, malah juga dari rantau Asia Tenggara, ini adalah satu permulaan yang baik dan harapan saya majlis HAWANA 2023 akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan bagi sektor media dan menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan ini komited bukan hanya mempertahankan kebebasan media tetapi meneliti beberapa perkara yang dibangkitkan, isu kebajikan bagi para pengamal media, masa depan industri media itu sendiri," menurut Fahmi.

Dijangkakan lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan ASEAN dijangka menghadiri HAWANA 2023 yang bakal menghimpunkan golongan profesional dan pakar industri sambil bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.

Media Baharu