fb fb fb fb fb

Polis Kelantan lupus pelbagai jenis dadah bernilai RM47 juta

KOTA BHARU, 24 November - Polis Kelantan akan melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM47 juta yang dirampas sejak tahun 2008 hingga tahun ini membabitkan hampir 4,400 kertas siasatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah itu dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding mahkamah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah terbabit tamat.

Katanya, kesemua barang kes itu akan dilupuskan esok di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

"Di bawah Akta Dadah Berbahaya di mana penagih tegar seramai 511 orang telah ditangkap, ianya melebihi sasaran sebenar kita, menyasarkan seramai 504, kita berupaya setakat Oktober, 501 dan mungkin dalam tempoh sebulan lagi ini ada lagi tangkapan akan dibuat dan Seksyen 36C merupakan satu yang amat berkesan," kata beliau kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata selain rampasan dadah, kesemua 4,399 kertas siasatan itu juga membabitkan sitaan bernilai RM41 juta termasuk kenderaan, wang tunai, barang kemas serta wang dalam akaun.


(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menunjukkan pelbagai jenis dadah 
bernilai RM47 juta yang dirampas sejak tahun 2008 hingga tahun ini) 

Pelupusan dadah itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang sudah ditetapkan.

Kesemua barang kes itu diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

Menurutnya lagi, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merekodkan 9,018 kes membabitkan 11,115 tangkapan dengan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM49.83 juta.

Nilai sitaan aset pengedar pula berjumlah RM3.9 juta dan sebanyak 73 tangkapan dilakukan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Media Baharu