fb fb fb fb fb

GPS akur titah Agong, sertai Kerajaan Perpaduan

(Abang Johari/BERNAMA)

KUCHING, 24 November- Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebulat suara setuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi GPS , Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata GPS membuat keputusan itu kerana patuh kepada titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar bersama membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil.

"Ya, kami akur (dengan nasihat Agong), maksudnya kami (GPS) menyertai kerajaan perpaduan.

"Kita taat kepada raja berpelembagaan dan dalam Rukun Negara jelas menuntut kita taat kepada raja, walaupun kita di Sarawak tidak ada raja," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Petra Jaya di sini.

Mengulas lanjut berkaitan pelantikan ahli kabinet Persekutuan dari Sarawak, Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata GPS menyerahkan perkara tersebut ke peringkat Persekutuan.

Sarawak memenangi 23 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam perkembangan lain, GPS mengesahkan pihaknya menerima permohonan maaf daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan hati terbuka selepas kunjungan hormat Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook ke atas Premier Sarawak bersama beberapa pemimpin tertinggi GPS, pagi tadi.

"Yang pentingnya minta maaf dan akui kesilapan. Apa disebutnya adalah buka lebaran baru, tetapi dalam masa sama mereka (DAP) mesti hormat parti komponen kami Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)," tambah beliau.

Selepas kunjungan hormat itu, Pengerusi Nasional DAP Lim Guan Eng turut mengeluarkan kenyataan permohonan maaf terbuka terhadap sebarang kenyataan yang telah menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak sebelum ini.

(Abang Johari bersama pemimpin GPS lain dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di Petra Jaya/BERNAMA)

 

Media Baharu