fb fb fb fb fb

Polis Johor dan KL tumpaskan sindiket ah long

JOHOR BAHRU, 8 Januari - Enam lelaki dan dua wanita, termasuk seorang warga asing, ditahan polis di Kuala Lumpur kerana terlibat sindiket pinjaman wang haram (ah long ), melakukan khianat api, dan simbah cat terhadap rumah peminjam yang gagal membayar pinjaman di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua suspek berumur 28 hingga 68 tahun, ditahan pada 4 Januari lalu hasil kerjasama Polis Johor dan Polis Kuala Lumpur.

Siasatan mendapati suspek dari Kuala Lumpur itu, aktif melakukan khianat sejak Oktober lalu dan terlibat dalam 21 kes khianat dengan api di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Batu Pahat, Kluang, Muar, Kluang dan Muar.

Selain dua kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan Melaka.

Kumpulan tersebut menerima bayaran RM800 bagi setiap tugas khianat dengan api, dan RM500 bagi bayaran simbah cat.


(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua suspek berumur 28 hingga 68 tahun,
ditahan pada 4 Januari lalu hasil kerjasama Polis Johor dan Polis Kuala Lumpur)

"Dan juga kita menasihatkan tuan dan puan, dalam operasi ini juga, kita telah membuat lawatan kepada semua rumah-rumah yag pernah disimbah cat, dan dibakar api, kita jumpa dengan laporan polis, kita memberi maklumat hasil siasatan, dan juga kita menunggu apa-apa maklumat sekiranya mereka diganggu oleh sindiket ini lagi," kata beliau pada sidang media, di sini.

Suspek ditahan juga, terlibat menjalankan kegiatan keldai akaun dan menerima komisen sepuluh peratus daripada nilai transaksi.

Semakan mendapati terdapat suspek yang merupakan bekas peminjam yang gagal menjelaskan hutang, lalu melibatkan diri dalam jenayah, bagi melangsai hutang.

Kesemua suspek direman sehingga 10 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427, 435 dan 436, Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memberitahu sebanyak 108 daripada 232 kes jenayah sindiket ah long pada tahun 2022, melibatkan pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dan membuat pinjaman haram.

Media Baharu