fb fb fb fb fb

Anwar tiba di Jakarta, mulakan lawatan rasmi

JAKARTA, 8 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta, Indonesia bagi lawatan rasminya bermula hari ini, sejak menyandang jawatan itu pada 24 November lepas.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tiba pada pukul 1.57 petang waktu tempatan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Pemimpin berusia 75 tahun itu tiba dengan tradisi memakai songkok, memartabatkan budaya serumpun dan disambut oleh Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia Basuki Hadimuljono dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Adlan Mohd Shaffieq.

Kemudian Perdana Menteri menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) melibatkan 10 syarikat Malaysia dan Indonesia di Hotel Grand Hyatt.

Antaranya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Badan Berkanun melibatkan projek yang dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.

Kemudian disusuli majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Indonesia di Kedutaan Malaysia selain menyampaikan ucapan dan sesi soal jawab.

(Anwar disambut Basuki Hadimuljono di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta)

Media Baharu