JOHOR BAHRU, 30 Mei- Polis Johor memberikan jaminan akan bertindak tegas sekiranya acara 'Gang Bang JB Party' diteruskan seperti dihebahkan di media sosial.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihak polis ketika ini sedang membuat risikan bagi mengenai pasti identiti pihak yang terlibat dalam penganjuran acara tidak bermoral itu.
"Ini pun satu masalah, perkara orang tidak buat, dia nak buat. Jadi polis akan ambil tindakan tegas dan jalankan risikan yang diperolehi daripada orang awam supaya perkara ini dapat ditegah dan tindakan tegas boleh diambil kerana menjadi satu kesalahan yang boleh menggugat ketenteraman awam," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Johor bagi Mei 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Minggu lalu, tular poster atau kad jemputan ke acara 'Gang Bang JB Party' dipercayai pesta seks bebas melalui Twitter yang mengatakan acara berkenaan dijangka diadakan pada 20 Jun 2023 mulai 4.00 petang hingga 9.00 malam.
(Kamarul Zaman Mamat)