KUALA KEDAH, 30 Mei- Tiga projek bernilai lebih RM500 juta dibawah Kementerian Pengangkutan akan dilaksanakan di Kedah, tahun ini.
Projek berkenaan ialah menaik taraf Terminal dan Jeti Penumpang Kuala Kedah, Perolehan 12 set Three Car Set (3CS) bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara dan Projek Membina tempat letak motosikal berbumbung di tiga stesen KTM iaitu Alor Setar, Anak Bukit dan Kobah serta membina lif untuk stesen KTM Kodiang dan Kobah, Pendang.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian dalam proses persediaan terakhir untuk mengiklankan projek meroboh, membina dan menaik taraf terminal dan jeti penumpang, kargo dan perkhidmatan RORO.
Beliau berkata, projek itu dijangka akan diiklankan pada 6 Jun ini selepas semua dokumentasi tender dilengkapkan dan ia dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dari tarikh pemilikan tapak oleh kontraktor.
"Saya amat sukacita mengumumkan tiga projek yang sedang diusahakan oleh Kementerian Pengangkutan di Kedah. Semoga projek-projek ini dapat berjalan dengan lancar demi kelestarian dan juga kesejahteraan rakyat negeri kedah," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Terminal dan Jeti Kuala Kedah.
Skop utama projek ini melibatkan kerja-kerja meroboh dan membina terminal baharu berkonsepkan teknologi hijau yang mampu menampung 3,000 penumpang berbanding kapasiti sedia ada iaitu 800 penumpang sahaja.
Selain itu, bagi projek Komuter Utara pula, KTMB akan melaksanakan perolehan 12 buah tren 3CS bagi laluan utara iaitu Butterworth-Padang Besar dan laluan selatan iaitu Butterworth-Padang Rengas.
Berdasarkan kepada corak permintaan penumpang, jumlah penumpang di utara dijangka akan terus meningkat terutama ketika cuti persekolahan dan cuti umum.
(Anthony Loke Siew Fook)