AYER KEROH, 30 Mei-Satu garis panduan yang lebih jelas perlu ada pada setiap penganjuran acara di Melaka.
Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata ia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak bermoral berlaku di dalam program berkenaan sekali gus memberi imej tidak baik kepada rakyat dan negeri.
"Bagi pihak agensi agama khusunya di pihak kerajaan negeri juga saya mengharapkan pihak penganjur supaya dapat berhati-hati memastikan program yang berbentuk mempromosikan Melaka sebagai negeri pelancongan mempunyai garis panduan jelas.
"Ini penting bagi menjaga setiap artis sebagaimana kita menjaga nilai dan norma sebagai seorang Muslim", katanya yang ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di MITC, di sini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu video tular seorang artis yang berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai pada satu festival baru-baru ini.

(Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil/FOTO RTM)