IPOH, 30 Mei - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memasang 17 kamera litar tertutup (CCTV) di Stadium Perak bagi meningkatkan tahap keselamatan di stadium berkenaan.
Langkah itu susulan dua kes kecurian komponen lampu limpah yang terjadi pada Februari dan Mei tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pemasangan CCTV itu akan bermula bulan hadapan melibatkan peruntukan RM50,000.
"Memang kita akan pasang, itu kita sudah putuskan, sudah setuju, lulus sudah pun bajet, bulan Jun kita mula, kita mula bulan depan. Itu memang kita perketatkan, pokok pun sudah tebang, pokok yang digunakan, dah tebang," kata Rumaizi, di sini.
(Rumaizi ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Surat Lantikan dan Taklimat kepada
Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Area Officer (AO) di Stadium Indera Mulia, di sini)
Tambahnya lagi, kawalan keselamatan juga akan terus diperketat bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Awal Mei lalu, bilik High Mast Pole 3 di Stadium Perak sekali lagi dipecah masuk individu tidak bertanggungjawab menyebabkan MBI kerugian kira-kira RM78,000.