fb fb fb fb fb

Polis Johor berjaya rampas dadah pelbagai jenis bernilai RM1.68 juta

JOHOR BAHRU, 4 November- Polis Johor berjaya merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM1.68 juta menerusi 17 serbuan operasi khas narkotik dijalankan di sekitar kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Kota Tinggi.

Operasi bermula pada pukul 3.00 petang pada 28 Oktober sehingga pukul 2.00 pagi semalam berjaya menahan 22 individu berumur 19 hingga 39 tahun termasuk dua wanita warga asing dipercayai sindiket pengedaran dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menerusi kenyataannya berkata modus operandi suspek dengan menjadikan rumah berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah serta membungkus semula sebelum diedar ke kawasan terlibat.

"Rampasan dadah membabitkan 7.02 kilogram syabu, 5.80 kilogram heroin, 490 gram ketamine, 306 gram serbuk ekstasi, 340 biji pil eramin, 32 biji pil ekstasi dan 65 gram ganja.

Turut dirampas wang tunai RM145,458, SGD$4,684 dolar Singapura dan wang tunai AS$30 dolar Amerika selain menyita lapan buah kenderaan pelbagai jenis," kata Kamarul Zaman kepada RTM.

Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah lebih RM2 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


(Foto Polis Johor)

Media Baharu