fb fb fb fb fb

MAIWP Dagang luaskan rangkaian MAIWP Mart ke Labuan

BATU CAVES, 4 November- MAIWP Dagang akan memperluaskan rangkaian kedai barangan runcitnya, MAIWP Mart ke Labuan menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Mohd Daud Abu Bakar berkata pembukaan kedai tersebut bertujuan menawarkan barangan keperluan pada harga lebih murah selain memudahkan pihaknya menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf di kawasan sekitar.

Ketika ini, MAIWP Mart mempunyai dua cawangan di Presint 5 dan Presint 9, Putrajaya.

"MAIWP bertanggungjawab kepada tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan. Labuan merupakan satu destinasi yang agak luar biasa kerana banyak barang mahal sebab memerlukan pengangkutan dari Semenanjung Malaysia.

Jadi, kita cuba bawa kepada satu sistem yang lebih murah kepada mereka dengan hubungan strategik dengan rakan-rakan pembekal untuk bawa barang seperti beras, gula, lampin bayi, dan sebagainya," kata Mohd Daud kepada RTM selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu MAIWP Dagang Sdn Bhd, di sini.


(Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Mohd Daud Abu Bakar menjelaskan
perkara tersebut kepada media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu MAIWP Dagang Sdn Bhd)

Jelasnya, MAIWP Dagang merancang untuk membuka Pusat Penyediaan Makanan di Kuala Lumpur bagi menambahbaik proses pengedaran makanan dengan penjimatan kos.

MAIWP Dagang akan turut meneroka peluang perniagaan baharu antaranya dalam bidang perkhidmatan kewangan dan insurans bagi tujuan meningkatkan pendapatan anak syarikat MAIWP berkenaan.

 

Media Baharu