fb fb fb fb fb

Polis cari pemandu Proton Iriz

(Tangkap layar FB Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM)

KUALA LUMPUR, 21 Januari- Pemandu sebuah Proton Iriz diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan tindakannya yang memandu secara berbahaya hingga boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada pemandu lain.

Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, satu video tular berdurasi 14 saat memaparkan sebuah kereta Proton Iriz berwarna hijau yang dipandu secara berbahaya dan cuba menghalang laluan sebuah kereta iaitu perakam video berkenaan.

"JSPT menggesa pemandu kereta ini segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan memandangkan nombor plat kenderaan tersebut telah dikenal pasti," kata kenyataan itu.

Video berkenaan tular di media sosial menerusi Twitter milik anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham yang mendakwa menjadi mangsa buli jalan raya.

Melalui perkongsian berkenaan, anak keempat Anwar itu berkata, perbuatan terbabit dilakukan seorang wanita yang memandu kereta jenis Proton Iriz.

"Saya biasanya tidak berkongsi perkara ini tetapi saya dibuli di jalan raya hari ini. Kereta ini asyik tekan brek di lorong laju.

"Sangat bahaya dan saya mempunyai anak berusia dua tahun bersama saya. Berada di sana selama seminit sebelum pemandu wanita itu menukar ke lorong lain," katanya.

(Tangkap layar Twitter @eelhumm)

 

Media Baharu