KUALA LUMPUR, 20 Januari- Konsep Malaysia Madani bukan frasa baharu yang dicipta kerajaan semata-mata untuk menggantikan slogan kerajaan terdahulu.
Menurut Pengerusi Nadi Rakyat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, ia merupakan satu gagasan yang akan menaikkan semula nama negara setelah melalui pelbagai kerencaman politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelasnya, idea tersebut juga telah lama digagaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum beliau diangkat sebagai Perdana Menteri.
"Apabila ia ditulis sebelum beliau menjawat jawatan Perdana Menteri maka sudah pasti perspektif yang cuba dihasilkan dalam buku itu adalah perspektif mereka yang berada di luar kerajaan.
"Bila berada di luar kerajaan, sudah pasti ada pelbagai kritikan yang diangkat dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik kerana itu gagasan sebelum menjadi kerajaan.
"Tetapi selepas pilihan raya dan beliau menjadi Perdana Menteri, naskhah atau perkara yang ditulis itu dilancarkan oleh beliau, dalam naskhah itu ada terkandung juga kritikan yang sewajarnya dilihat oleh pimpinan sekarang ini kerana kita kerajaan perpaduan, itu telah pun wujud," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Program Bicara Naratif di sini.
(Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi Nadi Rakyat)
Tambah beliau, enam rukun yang menjadi tonggak utama gagasan tersebut perlu difahami sebaik mungkin.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Ismail Yusop berkata, konsep Malaysia Madani merupakan satu gagasan yang berpaksikan nilai yang dirangkum berdasarkan pengalaman Perdana Menteri.
"Yang melatari rukun madani itu ialah situasi yang kita sedang hadapi sekarang iaitu disebut 'pascanormal', ia menunjukkan bahawa situasi yang kita kena hadapi pada masa hadapan.
Kita tahu dalam suasana perubahan yang begitu bermusuhan, kalau dalam buku disebut 'huru-hara', sangat rumit, kegalauan itu memerlukan kita suatu pendekatan yang berpaksikan nilai," katanya.