fb fb fb fb fb

Anak PM, pemandu Proton Iriz akan dipanggil - Polis

(Siaran media IPD Serdang)

KUALA LUMPUR, 21 Januari- Polis akan merakam keterangan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham dan pemandu Proton Iriz yang didakwa melakukan buli jalan raya terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan, berkata kedua-duanya akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Semalam, tular satu rakaman video berdurasi 14 saat menerusi Twitter milik Nurul Ilham Anwar yang memaparkan sebuah Proton Iriz dipandu agak perlahan di lorong sebelah kanan dan dikatakan menekan brek beberapa kali di lorong berkenaan di Kilometer 307 Lebuhraya Utara Selatan.

"Tindakan pemandu Proton Iriz itu telah menyebabkan Nurul Ilham berasa bahaya dengan cara pemanduan pemilik kereta tersebut," katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan dialami kedua-dua belah pihak.

"Siasatan lanjut juga masih dijalankan dan kedua-dua pemandu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Kes siasat mengikut Seksyen 6(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN) 166/1959 kerana kesalahan memotong dan menghalang daripada memotong," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ketika memandu kenderaan," katanya.

(Tangkap layar Twitter @eelhumm)

 

Media Baharu