(Tangkap layar rakaman video tindakan pemandu sebuah kereta menabur objek dipercayai paku di atas jalan raya
di Jalan Ipoh-Lumut di Pusing, Batu Gajah/FB Intan Syakeela)
BATU GAJAH, 1 April- Polis sedang memburu pemilik kereta jenis Nissan Almera bagi membantu siasatan berkaitan kejadian menabur paku di atas jalan raya yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut di Pusing, dekat sini.
Katanya, satu laporan polis diterima oleh pengguna yang mendakwa tayar keretanya bocor selepas melalui lokasi kejadian.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
“Sehubungan itu, pemilik kenderaan jenis Nissan Almera dengan nombor pendaftaran AJK 869 sedang dikesan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Ramlah Abdullah di talian 016-7676287 bagi membantu siasatan.
(Paku yang didakwa ditabur suspek di atas jalan raya hingga menyebabkan tayar kereta
mangsa bocor/FB Intan Syakeela)