fb fb fb fb fb

Polis buru dua individu disyaki lakukan serangan fizikal ke atas anak Rafizi

Datuk Shazeli Kahar

SHAH ALAM, 14 Ogos - Polis giat mengesan dua suspek yang disyaki melakukan serangan fizikal ke atas anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek serangan tersebut masih belum dapat dipastikan.

"Suspek melindungi identiti sepenuhnya dengan memakai topi keledar dan berpakaian gelap. Setakat ini identitinya masih belum dapat dipastikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Mengulas mengenai keadaan semasa mangsa, Datuk Shazeli berkata kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil selain pihak hospital telah mengambil sampel darah bagi mengesan sebarang komplikasi berikutan insiden tersebut.

Berhubung ugutan yang diterima isteri Ahli Parlimen Pandan itu, pihaknya memaklumkan bahawa belum menerima laporan berkait perkara tersebut.

Bagaimanapun pihaknya mengambil maklum perkara berkenaan dan akan mengesan nombor telefon yang digunakan bagi menghantar mesej ugutan tersebut.

"Setakat petang ini laporan belum lagi dibuat, mungkin selepas ini akan dibuat oleh beliau (Rafizi)," katanya lagi.

Terdahulu, Datuk Seri Rafizi dalam sidang media di bangunan Parlimen berkata ugutan itu diterima isterinya pada pukul 1.12 pagi dan 11.02 pagi hari ini, masing-masing mengandungi ancaman "diam, andai teruskan AIDS" serta emoji picagari, daripada nombor telefon sama.

Kes disiasat bawah Seksyen 14 (D) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 (Akta 702), Seksyen 324 dan 352 Kanun Keseksaan kerana menyerang serta menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Setakat ini enam individu termasuk Datuk Seri Rafizi dan isteri telah dipanggil untuk merakam keterangan bagi membantu siasatan.

Pihak polis turut meningkatkan kawalan keselamatan Datuk Seri Rafizi dan keluarga susulan kejadian tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI