KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Malaysia mengukuhkan peranannya sebagai peneraju agenda urbanisasi mampan ASEAN dengan menutup tirai tiga persidangan utama serantau di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata hasil persidangan Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN (AGMF) dan Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) 2025 menjadi pemacu kepada pembentukan bandar inklusif, inovatif dan berdaya tahan di rantau ini.
"Kepimpinan bandar bukanlah satu pilihan, tetapi satu keperluan. Suara tempatan bukan berada di pinggiran, sebaliknya adalah teras. Masa depan ASEAN tidak boleh ditulis dari atas ke bawah, sebaliknya digarap bersama oleh bandar-bandar kita, komuniti kita, dan rakyat kita," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN (AGMF) dan Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
ASEAN sebagai rantau ketiga paling ramai penduduk di dunia, berdepan cabaran besar termasuk perubahan iklim, kemampuan memiliki rumah dan pembangunan bandar yang tidak terkawal.
Justeru, tindakan berani dan inklusif perlu diambil bagi mengelakkan jurang kesejahteraan semakin melebar.
Antara pencapaian utama persidangan termasuk pelancaran Pusat Pintar dan Lestari ASEAN yang diketuai Urbanice Malaysia untuk menyokong projek inovatif dan program pemadanan bandar, pengukuhan penyertaan wanita dan belia dalam tadbir urus bandar, serta penubuhan Sekretariat MGMAC di Jakarta.
Persidangan juga mengesahkan Joint Communique MGMAC 2025 dan menyeru pelaburan lebih besar di peringkat tempatan daripada institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia.
Nga Kor Ming turut mengumumkan Deklarasi Lestari Kuala Lumpur sebagai input rasmi pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 selain melancarkan KL Call to Action for COP30 bagi menyatukan tindakan serantau menangani cabaran perubahan iklim di bandar.
Beliau yang juga Presiden Perhimpunan Habitat PBB (UN-Habitat) berkata Malaysia akan terus memacu perbincangan serantau mengenai urbanisasi mampan yang selari dengan Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 dan Pelan Strategik UN-Habitat 2026-2029.
Majlis penutupan itu dihadiri pemimpin bandar, gabenor, datuk bandar, agensi pembangunan dan rakan strategik dari seluruh ASEAN dengan penyertaan lebih 9,000 delegasi sepanjang tiga hari penganjuran.