fb fb fb fb fb

Pasukan Gynae-Onkologi HoSZA berjaya lakukan pembedahan pesakit koriokarsinoma

Foto Facebook Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Pasukan Bahagian Gynae-Onkologi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) Terengganu buat julung kalinya berjaya menyempurnakan pembedahan 'Total Laparoscopic Hysterectomy with Bilateral Salpingo-Oophorectomy' bagi pesakit yang didiagnosis koriokarsinoma.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran Facebook, mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan HoSZA yang diketuai Pakar Gynae-Onkologi Dr Alik Riasadesa Zakaria, bersama Ketua Jabatan O&G Dr Ramli Ibrahim.

Ia turut disokong pasukan perubatan, jururawat, dan Jabatan Anaestesiologi dan Rawatan Intensif.

"Dengan teknik pembedahan invasif minimum, pesakit kini berpeluang pulih lebih cepat, kurang risiko komplikasi, dan kembali kepada kehidupan normal dengan kualiti hidup yang lebih baik walaupun untuk kes kanser yang kompleks dan mencabar.

"Kejayaan ini adalah bukti bahawa hospital-hospital awam kita mampu menawarkan rawatan berteknologi tinggi bertaraf dunia, melalui pakar-pakar yang hebat dan berkemahiran tinggi, semuanya untuk kesejahteraan dan kesihatan rakyat Malaysia," menurut hantaran itu.

Koriokarsinoma ialah kanser yang terjadi ketika sel-sel plasenta tumbuh secara abnormal dalam rahim, ia boleh berlaku selepas keguguran dan pengguguran kehamilan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI