fb fb fb fb fb

Polis buru 3 suspek terlibat rompakan barang kemas dan wang tunai RM1 juta

PASIR MAS, 6 Mei - Polis giat memburu tiga lelaki disyaki terlibat dalam kes rompakan bersenjata di sebuah kedai pajak gadai di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, ketiga-tiga suspek memakai topeng dan dua daripada mereka menggunakan senjata menyerupai pistol manakala seorang lagi suspek menggunakan pisau.

Berdasarkan kenyataan, mangsa bersama lima orang pekerja di kedai tersebut telah diikat dan dipaksa berada di bawah meja.


(Foto hiasan)

Katanya, mangsa juga dipaksa membuka laci dalam peti besi dan mengisi wang tunai sebanyak RM1 juta serta pelbagai barang kemas di dalam beg yang diberikan suspek.

"Suspek turut melarikan diri dengan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran ST 6998 W milik mangsa.

"Polis mengadakan Ops Tutup dan Sekatan Jalan Raya di seluruh negeri Kelantan dan juga pengkalan haram bersempadan Thailand bagi mengesan suspek dan kenderaan yang dilarikan", katanya.

Susulan daripada operasi dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 itu telah menemukan kenderaan terbabit yang ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Kuala Jambu Pengkalan Kubor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa dan menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit untuk tampil ke Balai Polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Media Baharu