fb fb fb fb fb

Fahmi Fadzil menang tanpa bertanding Ketua Cabang PKR Lembah Pantai

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 17 Mac - Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil berjaya mempertahankan kerusi Ketua Cabang Lembah Pantai pada pemilihan parti, April ini.

Fahmi berkata, setakat tengah malam tadi sehingga tempoh pencalonan tamat, tiada individu atau ahli PKR tampil mencabar jawatan tersebut yang mana sekali gus menyaksikan beliau menang tanpa bertanding.

"Berbeza dengan saudara Zahir yang akan bertanding di Wangsa Maju, Alhamdulillah di Lembah Pantai tiada pertandingan. Jadi, setakat tengah malam tadi Lembah Pantai hanya saya.

"Jadi Alhamdulillah di Kuala Lumpur saya difahamkan ada empat cabang yang tiada pertandingan selain dari Lembah Pantai saya difahamkan juga Bandar Tun Razak, Putrajaya, dan Labuan dan kita kira sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

"Itu sifat demokrasi. Siapa yang merasakan diri mereka layak untuk bertanding masuklah. Tapi yang penting adalah untuk bertanding dengan sihat elakkan dari terlibat dalam apa-apa aktiviti yang dilarang dengan sihat dalam suatu suasana kekeluargaan, bersaudara dan ambil lah kata-kata Melayu lama 'biduk berlalu, kiambang bertaut', setelah selesai pertandingan pemilihan kita satukan semula di cabang-cabang dan di peringkat pusat juga. Insya-Allah," kata Fahmi.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Kempen Advokasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Bazar Ramadan Wangsa Maju.

TETITIA YUSOFF