fb fb fb fb fb

MARA: 2.8 juta penerima manfaat, kini giliran untuk kembali menyumbang

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR, 17 Mac- Sejak penubuhannya 59 tahun lalu, lebih 2.8 juta individu telah menerima manfaat pendidikan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sudah tiba masanya golongan penerima manfaat ini kembali menyumbang melalui Dana Wakaf MARA MADANI sebagai tanda penghargaan serta bagi menyokong Agenda Pemerkasaan Bumiputera.

"Kita mahu ia menjadi sesuatu yang dijiwai dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang telah menerima manfaat daripada agenda ini. Hari ini, ramai dalam kalangan mereka telah mencapai kedudukan tinggi dalam sektor korporat dan masyarakat," katanya.

Beliau menambah bahawa penyertaan semula penerima manfaat dalam inisiatif ini akan membantu memperkukuh ekonomi Bumiputera secara menyeluruh.

"Apa salahnya jika mereka kembali menyumbang dan terlibat secara langsung dalam agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini?" tambahnya.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi menegaskan bahawa MARA tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan tadbir urus.

"Asas tadbir urus yang kukuh adalah kunci kepercayaan masyarakat terhadap MARA. Selama 59 tahun, MARA terus bertapak kerana mempertahankan prinsip ini, malah kini kita memperkukuhnya lagi," katanya.

Menurutnya, tumpuan utama ketika ini adalah memastikan ekosistem MARA berfungsi dengan cekap bagi menjamin agihan manfaat yang lebih efektif.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Angkasapuri, Kota Media.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE