fb fb fb fb fb

50 penggiat seni, 26 pengamal media terima sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 17 Mac - Seramai 50 penggiat seni dan 26 pengamal media tempatan menerima sumbangan berupa wang tunai, pakaian raya dan baucar beli-belah sempena bulan Ramadan serta sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Kesemua mereka diraikan menerusi majlis “Raya Sama-Sama” anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Dewan Cendekiawan, Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu, bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan pengamal media serta warga industri seni yang telah memberikan sumbangan untuk pembangunan industri media dan industri kreatif tanah air.

“Sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip ihsan dan pemberdayaan kemanusiaan, program ini mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan besar penggiat seni veteran serta peranan penting pengamal media dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Ekonomi Azlina Aziz, Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.

Hadir sama Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Finas Datin Rozita Waty Ridzuan.

Fahmi berkata sejak diperkenalkan pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memberi manfaat kepada 341 pengamal media, yang secara langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan itu.

Beliau berkata seramai 50 penggiat seni pula mendapat manfaat menerusi program Ziarah Seni MADANI Finas.

Terdahulu penggiat seni veteran menerima sumbangan wang tunai daripada FINAS serta pakaian raya sumbangan Deco Guru Builder Sdn. Bhd. (DGB Studio), manakala pengamal media pula menerima sumbangan melalui Tabung Kasih@HAWANA.

Kesemua penerima turut menerima baucar beli-belah daripada Mydin dan Yayasan AEON Malaysia sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Pada majlis itu, Fahmi turut mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Fahmi berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan persatuan berkenaan bagi meneliti 10 perkara yang dikemukakan mereka, antaranya melibatkan peluang persembahan dalam acara terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan kemudahan rawatan.

TETITIA YUSOFF