PUTRAJAYA, 17 Mac – Kerajaan masih belum memutuskan sama ada sekatan perjalanan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman akan dilaksanakan semula.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaan sedang menilai langkah yang lebih berkesan untuk menggalakkan peminjam melunaskan tunggakan mereka selain kaedah yang pernah digunakan sebelum ini.
“Kita akan melihat secara menyeluruh langkah-langkah yang boleh diambil kerana tidak mahu bergantung kepada satu kaedah sahaja. Fokus utama adalah mencari mekanisme terbaik untuk meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Ihya’ Ramadan bersama Perdana Menteri dan warga Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut memaklumkan bahawa calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah dimuktamadkan.
Menurutnya, pengumuman rasmi calon tersebut akan dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berlainan, Datuk Seri Dr Zambry turut menyentuh mengenai penggantungan kerja seorang pakar runding sambilan di sebuah hospital kanak-kanak baru-baru ini.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang dalam proses mendapatkan pakar perubatan baharu.
Jelasnya lagi, sementara menunggu proses tersebut selesai, semua pesakit kanak-kanak yang menghidap kecacatan tulang belakang dan sedang menjalani rawatan di hospital berkenaan akan dirujuk kepada pakar bedah saraf lain.
“Hal berkaitan kes itu biarlah dilaksanakan di peringkat jabatan. Manakala bagi pesakit yang memerlukan rawatan, pihak universiti telah mengambil langkah untuk memastikan rawatan mereka diteruskan. Jika bukan pakar itu, mereka akan mendapatkan pakar lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Ihya’ Ramadan bersama Perdana Menteri dan warga Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya.
Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial mempersoalkan tindakan pengarah hospital berkenaan yang mengeluarkan arahan penggantungan kerja terhadap pakar runding sambilan tersebut.
Kenyataan pempengaruh wanita itu menerusi aplikasi X telah mencetuskan pelbagai persepsi masyarakat terhadap universiti dan kementerian yang terlibat.