fb fb fb fb fb

Anwar sokong had tempoh jawatan PM, seiring reformasi MADANI

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyokong cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, selaras dengan visi reformasi yang diketengahkan dalam gagasan Membangun Negara MADANI.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, langkah tersebut bertujuan memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih, sistem pemerintahan yang lebih teratur, serta mengelakkan pemusatan kuasa yang boleh membuka ruang kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Ini bukan perkara baharu. Beberapa negara lain, termasuk Indonesia, telah mengamalkan pendekatan serupa," katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa landskap geopolitik hari ini dan masa depan memerlukan perubahan dinamik dalam kepimpinan negara.

"Mengehadkan tempoh keperdanamenterian memberi ruang kepada kepimpinan baharu dan memastikan negara terus maju dengan idea serta tenaga segar," tambahnya.

Tunku Nashrul turut memaklumkan, Perdana Menteri mengingatkan pihak pembangkang agar tidak menjadikan cadangan tersebut sebagai bahan politik perkauman yang sempit.

"Jawatan Perdana Menteri sudah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Cadangan ini tidak bercanggah dengan prinsip asas tersebut, malah ia penting untuk menjamin kematangan demokrasi negara," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang ingin mengkritik cadangan ini seharusnya memahami konteksnya terlebih dahulu.

"Baca dan hadam buku Anwar Ibrahim, Membangun Negara MADANI. Rujuk muka surat 181, di bawah tajuk Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik," ujarnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE