fb fb fb fb fb

Pelantikan Datuk Ibrahim Baki perkukuh rundingan PETROS-PETRONAS

Datuk Ibrahim Baki mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad & PETROS) hari ini di Astana Negeri Sarawak, di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar / BERNAMA

KUCHING, 17 Mac- Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki, sebagai Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad & PETROS) dijangka memperkukuh proses rundingan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menyatakan keyakinannya terhadap kredibiliti dan pengalaman Datuk Ibrahim Baki dalam menggalas tanggungjawab tersebut.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), latar belakang Datuk Ibrahim dalam bidang berkaitan akan memperkukuh hubungan serta kerjasama strategik antara Sarawak dan PETRA pada masa akan datang.

"Salah satu portfolio beliau ialah mengurus hal ehwal tenaga di Sarawak serta isu berkaitan PETROS. Dengan pemahaman mendalam tentang operasi dalaman PETRONAS, beliau mampu memudahkan rundingan dan memperkukuh kerjasama dengan PETROS.

"Saya percaya pelantikan ini adalah langkah strategik untuk memastikan sektor tenaga terus berkembang, memandangkan kepentingannya yang kritikal," katanya.

Beliau turut yakin pelantikan itu akan menyokong usaha Sarawak dan PETRA dalam membekalkan tenaga ke Semenanjung Malaysia.

"Sarawak juga akan membekalkan tenaga ke Semenanjung dan Singapura menerusi inisiatif ASEAN Power Grid, dengan Borneo Power Grid sebagai salah satu elemen utama yang diberi perhatian," tambahnya.

Datuk Seri Fadillah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Padawan di Bazar Ramadan Matang Jaya.

Datuk Ibrahim Baki mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad & PETROS) hari ini dalam satu majlis angkat sumpah di Astana Negeri Sarawak, di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE