KUALA LUMPUR, 22 November - Polis bantuan dingatkan terus mengekalkan integriti dan profesionalisme dalam setiap tindakan bagi menjaga imej agensi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan / Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pecegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, integriti dan disiplin tunjang utama dalam bidang kepolisan dan tidak boleh dikompromi.
"Berkaitan dengan integriti dan salah laku, sebab tu kita hantar kursus dan juga hantar latihan dan perkhidmatan kepada agensi polis bantuan. Supaya tidak melakukan perkara yang salah guna kuasa dan memastikan imej PDRM ni dapat dijaga dan kita juga melalui JPJKK akan memastikan polis bantuan ini bertugas dengan baik dengan membuat pemantauan dan penyeliaan.
"Setiap negeri kita akan hantar JPJKK dan pegawai anggota untuk buat semakan atau pemeriksaan. sentiasa memeriksa untuk dia pastikan polis bantuan ini setiasa menjaga imej PDRM," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 9/2025 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, beliau katanya tidak mahu wujud anggota polis bantuan yang tidak berdisplin atau terlibat dengan jenayah yang sekaligus menjejaskan reputasi pasukan.
Pada majlis berkenaan, seramai 186 pelatih terdiri daripada lapan pegawai kanan dan 178 pegawai rendah polis bantuan menamatkan latihan sembilan minggu bermula 21 September lalu dengan kursus melibatkan 23 agensi daripada sektor awam dan swasta.
