ALOR SETAR, 22 November - Wartawan RTM Langkawi, Wan Nur Asyikin Wan Azmi, 33 tahun, antara ribuan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam banjir besar melanda Hatyai sejak awal pagi tadi.
Ketika dihubungi, beliau memaklumkan bahawa beliau bersama suami dan dua anak tiba di Hatyai petang semalam dalam keadaan cuaca yang baik, sebelum paras air mula naik sekitar pukul 3 pagi dan menenggelamkan hampir seluruh bandar dalam tempoh singkat.
"Kami kini hanya mampu berkurung di dalam bilik hotel berikutan keadaan di luar yang tidak selamat, ditambah dengan semua premis termasuk kedai makan tidak beroperasi," katanya.
Wan Nur Asyikin turut meluahkan kebimbangan mengenai bekalan makanan, susu dan lampin pakai buang untuk anaknya, Nadhif Alfian Khairul Anwar, 9 bulan, yang semakin berkurangan sekiranya banjir berterusan tanpa sebarang bantuan.
Beliau turut berada di Hatyai bersama suami dan anak sulungnya, Ifti Liyana, 5 tahun, bagi percutian tiga hari dua malam sebelum keadaan bertukar genting akibat banjir.
Wan Nur Asyikin berharap ada pihak dapat menyalurkan bantuan segera serta memindahkan keluarganya ke lokasi selamat dalam masa terdekat.
