fb fb fb fb fb

Pokok Sena dilanda gelombang kedua banjir

FOTO RTM

POKOK SENA, 29 September- Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pokok Sena dijangka terus meningkat akibat gelombang kedua banjir.

Keadaan itu susulan paras air Sungai Padang Terap yang semakin meningkat akibat hujan lebat semalam.

Gelombang kedua banjir di daerah tersebut berlaku hanya dua hari selepas penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 26 September lalu.

Pegawai Daerah Pokok Sena merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mohamad Rizal Mohamad Radzi, menyatakan bahawa beberapa kawasan yang terjejas dalam gelombang pertama kini kembali dinaiki air.

Setakat pukul 5.00 petang tadi, sebanyak lima PPS telah dibuka iaitu PPS Maahad Tarbiyah Islamiah Derang menempatkan 51 keluarga, PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena (63 keluarga), PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau (47 keluarga), PPS Dewan Masjid Kampung Baru, Mukim Lesong (17 keluarga) dan PPS Surau KEDA Derang (15 keluarga).

Mohamad Rizal menjangkakan jumlah keluarga terjejas akan bertambah memandangkan paras air di Sungai Padang Terap meningkat, yang berpotensi mengalir ke daerah Pokok Sena dan Kubang Pasu, serta berkumpul di daerah Kota Setar.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas meninjau kawasan yang dilanda banjir dan menyampaikan Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) kepada penduduk terjejas dalam gelombang pertama yang masih belum menerima bantuan dari Kerajaan Negeri Kedah itu.

Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama masyarakat setempat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berdekatan sungai, untuk menjaga keselamatan diri.

Sebarang aduan, pertanyaan dan bantuan kecemasan boleh dihubungi melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Pokok Sena di talian 04-7028204 atau 04-7028206.

SITI AISHAH MD ISA