fb fb fb fb fb

Hargai semangat perjuangan, perpaduan diwariskan pemimpin terdahulu- PM Anwar

Datuk Seri Anwar berucap pada majlis ramah mesra pemimpin komuniti masyarakat Kapit di sini, hari ini.

KAPIT, 29 September- Hargai semangat perjuangan dan perpaduan yang diwariskan pemimpin terdahulu ketika penubuhan Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata negarawan seperti Tun Temenggung Jugah Anak Barieng salah seorang pemimpin, yang telah menunjukkan kebijaksanaan serta wawasan untuk menjamin masa depan Sarawak dan juga Malaysia.

"Sarawak dianggap negeri yang berpotensi dan mempunyai kekuatan terutama dalam bidang tenaga, di antara yang terpenting di rantau ini...bukan di Malaysia. Seperti yang disebut berulang kali oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kejayaan Sarawak itu kejayaan kita semua kerana apa yang dicapai itu dinikmati oleh semua," katanya.

Beliau berucap pada majlis ramah mesra pemimpin komuniti masyarakat Kapit di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi keutamaan bagi pembinaan beberapa projek jalan di Bahagian Kapit.

Beliau berkata antaranya ialah projek pembinaan jalan menghubungkan Nanga Semaram di Kanowit ke Kapit, sejauh 72 kilometer.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertama pembinaan jalan itu dijangka bermula tahun hadapan dan telah meminta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk menyegerakannya.

“Tahun depan kita sediakan peruntukan untuk mula fasa satu dan saya percaya selewat-lewatnya akhir tahun depan atau tahun 2026 (pembinaan bakal bermula),” katanya.

Pada lawatan kerja sehari ke Kapit hari itu, Perdana Menteri turut merasmikan majlis pecah tanah projek baharu pembangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit dan mendengar taklimat mengenai pembinaan jambatan merentasi Sungai Batang Rajang di Nanga Yong.

Selain itu, beliau turut menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Rumah Panjang Daerah Kapit dan Song di Rumah Robert, Nanga Sebatu, di sini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI