fb fb fb fb fb

Sidang DUN Kelantan akan diadakan akhir November ini

Foto Fail/ BERNAMA

KOTA BHARU, 29 September- Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan diadakan pada akhir Nov ini bagi membentangkan Belanjawan 2025, kata Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata mengikut perancangan asal, ia sepatutnya berlangsung pada 24 Oktober ini namun terpaksa dipinda.

“Oleh kerana ia bertembung pada tarikh bulan depan dengan Persidangan Majlis Raja-Raja, maka kita bersetuju untuk meminda tarikh kepada akhir November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Mohd Amar berkata sidang DUN Kelantan itu akan berlangsung selama lima hari.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga akan diadakan majlis angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada hari pertama sidang DUN berlangsung.

ZEHRA BINTI ZAMBRI