fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal maut kes langgar lari

Foto Hiasan

SEREMBAN, 29 September- Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan yang belum dapat dikenal pasti, dalam kejadian di kilometer 3.5 Jalan Tampin Gemas berhampiran Taman Sri Nova Utama, Tampin dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Amiruddien Sariman berkata lelaki berusia 35 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Dash itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tampin pada pukul 8.15 pagi.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku pada 4.30 pagi semasa lelaki itu sedang dalam perjalanan dari arah Gemas menghala ke Tampin.

“Apabila sampai di tempat kejadian dia dilanggar sebuah kenderaan yang dipercayai datang dari arah sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amiruddien berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin (IPD) atau Insp Afiqah Aqwa Haslan di talian 06-4412502 atau Bilik Gerakan di 06-4431999 bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI