SERDANG, 30 Oktober- Penggunaan pokok keladi bunting sebagai sumber makanan larva lalat askar hitam (BSF) merupakan inovasi dalam pengawalan populasi tumbuhan itu.
Pokok keladi bunting dikenali sebagai rumpai akuatik, hidup di kawasan berair namun mampu mengancam ekosistem, jika tidak dikawal pembiakannya.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Sarawak, Dr. Latifah Omar dalam kenyataan berkata keladi bunting sesuai untuk dijadikan sumber makanan larva BSF kerana mempunyai serat serta mudah dihadam.
"Jadi, apabila pengumpulan keladi bunting giat dijalankan, populasi rumpai akuatik ini akan dapat dikurangkan apabila digunakan sebagai sumber makanan kepada larva lalat askar hitam.
Keladi bunting ini diperlukan dalam kuantiti yang banyak serta perlu direbus terlebih dahulu supaya mudah dihadam oleh larva," kata kenyataan itu.
Beliau yang berkepakaran dalam bidang Pengurusan Sisa Pertanian berkata jenis dan jumlah makanan juga adalah penting bagi memastikan sisa diuraikan sepenuhnya.
Tambahnya, jenis makanan perlu dipelbagaikan dan tidak bergantung kepada satu jenis makanan sahaja.
"Larva akan menjadi pucat berwarna putih serta lonjong sekiranya memakan keladi bunting sahaja. Sebaliknya, larva akan berbentuk bulat dan berisi jika makanan dicampur dengan sisa lebihan dapur atau kulit buahan.
Teknik pengurusan keladi bunting menggunakan larva lalat askar hitam boleh dipraktikan dengan kaedah 5R iaitu refuse, reuse, reduce, recycle, repurpose,” jelas kenyataan itu.
Larva lalat askar hitam (BSF) adalah peringkat yang paling berfaedah dalam kitaran hidup serangga tersebut kerana kegunaannya dalam pertanian dan penternakan.
Larva juga dimanipulasi untuk menguruskan pelbagai sisa seperti sisa pertanian dan sisa bandaran.