fb fb fb fb fb

PM10: Ismail Sabri ucap tahniah kepada Anwar

(Foto FB Ismail Sabri Yaakob)

KUALA LUMPUR, 24 November- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan setinggi tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Beliau turut mendoakan kerajaan baharu yang diterajui Anwar dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara.

"Saya merafakkan setinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

"Setinggi tahniah Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan ini. Saya mendoakan kerajaan baharu ini dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara," katanya melalui kenyataan.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia dan keluarga penjawat awam, terutama petugas barisan hadapan yang bersama-sama dengannya selama ini.

"Saya amat menghargai sokongan Keluarga Malaysia dalam membantu pentadbiran saya, dalam mendepani cabaran dan memastikan Malaysia terus berada di landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi," katanya.

(Yang di-Pertuan Agong berkenan bergambar bersama Anwar Ibrahim selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat
Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai
Perdana Menteri Ke-10 di Istana Negara
/JaPen)

Media Baharu