fb fb fb fb fb

PM zahir penghargaan kepada Agong, Raja-Raja Melayu prihatin kesentosaan rakyat

PUTRAJAYA, 21 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan kesyukuran kerana negara dikurniakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang prihatin terhadap kesentosaan negara dan kebajikan rakyat.

Jelas beliau, atas nasihat Seri Paduka Baginda, kerajaan telah mengambil inisiatif melupakan segala perbezaan dan mewujudkan kebersamaan dengan memeterai kerjasama rentas parti dengan pihak pembangkang.

"Hasil pendekatan inklusif ini, kita telah mencapai kestabilan politik, pelbagai inisiatif lain yang kita rundingkan melalui sesi-sesi konsultasi telah mendapat sokongan meluas semua pihak.

Ini termasuklah Bajet 2022 yang mendapat kelulusan majoriti serta Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 dan Larangan Lompat Parti yang telah diluluskan sebulat suara," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan di sini.

(Datuk Seri Ismail Sabri berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia : Pencapaian dan Harapan di sini)

Sehubungan itu, Perdana Menteri merakamkan penghargaannya kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-raja Melayu yang telah memberi nasihat dan sokongan kepada Kerajaan Keluarga Malaysia sejak setahun lepas.

Tegas Datuk Seri Ismail Sabri, ketaatsetiaan kerajaan kepada Seri Paduka Baginda tidak boleh sama sekali diragui.

Hubungan baik dengan pihak istana sentiasa dijaga selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu 'Kesetiaan kepada Raja dan Negara'.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua ahli Jemaah Menteri serta semua Ahli Parlimen baik dari pihak kerajaan atau pembangkang yang menyokong pelbagai inisiatif yang dikemukakan.

Beliau juga tidak berhasrat mendabik dada melaung-laungkan semua kejayaan yang telah dicapai dan akan membiarkan fakta untuk berbicara.

Media Baharu